JEJAK ANDA

Wednesday, February 13, 2013

JIKA SUATU HARI ENGKAU MENJENGUKKU DI PENJARA



----------------------------

Ayah dan ibuku yang tersayang,
Aku senantiasa mendengar, orang mengatakan bahawa rumah adalah padang kehangatan dan syurga kedamaian yang dinaungi oleh cinta dan kasih sayang.Akan tetapi mengapa wahai ayah dan ibu, rumah kita berbeza dari apa yang aku dengar dan aku lihat. Kenapa rumah kita justeru menjadi medan pertempuran. Yang berlangsung di antara kamu dengan ibu hingga akhirnya melumat kebahagiaan, keriangan dan kegembiraan kita. 

Wahai ayah dan ibu,
Mengapa kalian berdua tidak berhenti dari berselisih faham yang membakar saraf kita dan merobek robek kebahagiaan kita. Rumah kita telah menjadi tempat yang taktertahankan. Oleh kerana itu, aku sangat berkeinginan untuk tidak masuk. Bahkan aku sering berangan-angan bila aku boleh keluar dari rumah ini seperti seorang tawanan yang terikat tali dan terbelit rantai menunggu saat ikatannya itu terbuka agar dia dapat melangkah kedua kakinya dengan bebas.

Ibu dan ayah,
Apabila aku telah keluar dari rumah aku diumbang-ambingkan pula oleh dunia dengan nafsunya, syaitan-syaitan dan dosanya,lalu aku merasa tertekan oleh diriku sendiri. Kaki ku merasa letih kerana berjalan dan jiwaku merasa lelah kerana kesedihan. Sampai di sini aku terpaksa kembali semula ke rumah yang menyeksakan dalam keadaan kalah lagi terlantar laksana seorang hamba yang lari lalu dikembalikan kepada tuannya.Padahal sepanjang masa ia telah berbuat salah. Aku akan kembali ke rumah itu untuk duduk di satu sudut, ke salah satu tiangnya sambil menggigit jari-jari penyesalan, merawat lukaku sendiri kerana sakitnya penderitaan, menyatukan kembali saraf-sarafku yang masih tersisa, membakar semangat yang masih ada dalam raga, mencabut rasa pedih yang masih ada di dalam jiwa. Bila lagi wahai ibu dan ayah aku dapat merasakan dalamnya ketenteraman yang aku dambakan di dalam rumah ini.

Ibu dan ayahku yang tersayang,
Jika pada suatu hari, engkau datang menjemputku di rumah sakit, atau mengunjungiku di penjara, atau mencariku di lorong-lorong gelap sedang mencucuk diriku sendiri, atau mengeluarkanku dari kesulitan yang besar, maka janganlah engkau menghinaku. Arahkanlah penghinaanmu itu kepada dirimu sendiri. Kerana aku adalah korban perselisihan, korban pertengkaran, korban kejahilan, korban kesibukan, yang memenuhi setiap ruang rumah kita siang dan malam. Oleh kerana itu, aku berharap kepadamu wahai ibu dan ayah, agar engkau tidak menjadikanku sebagai tawanan perselisihan, taruhan pertikaian. Tetaplah bersama kebenaran. Bepegang teguhlah kepada-Nya dengan kejujuran. Dan mundurlah kalian daripada kesalahan dan kejahilan. Perbaikilah keadaan bersama ibu. Satukanlah pandangan dan tujuanmu. Kasihanilah orang yang berada di bumi wahai ibu dan ayah, pasti engkau akan dikasihi orang yang di langit.

-Dari anakmu yang kebingungan-


-------------------------

Berikut adalah luahan seorang anak kepada ibu bapanya yang tak terluahkan tetapi ditulis di atas sekeping surat. Surat ini dibacakan oleh Ustazah Norhafizah Musa di radio IKIM.fm

Kepada ibu-bapa, jadilah ibu dan bapa yang baik. Amanahlah kepada amanah yang telah diberi.

Sekian

No comments:

Post a Comment